Memperkukuh ukhuwah, memupuk nilai murni sempena Aidilfitri




Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 April. - Kampung Sungai Akar telah mengadakan Majlis Silaturahim Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dengan penuh meriah dan harmoni baru-baru ini bertempat di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar.


Majlis berkenaan merupakan anjuran bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir MRSB serta Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Akar Kawasan 1 dan Kawasan 2 yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung serta memupuk semangat perpaduan sempena Hari Raya Aidilfitri.


Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Dayang Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.


Turut hadir, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penaung AJK Takmir MRSB, Penghulu Mukim Berakas, ketua-ketua kampung di kawasan berkenaan, jemaah serta penduduk Kampung Sungai Akar dan sekitarnya.


Sepanjang majlis, para hadirin berpeluang untuk beramah mesra, bertukar-tukar ucapan Hari Raya serta menikmati juadah yang disediakan dalam suasana penuh kekeluargaan.


Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin dan penduduk setempat, jelas mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian yang kukuh dalam komuniti.


Penganjuran majlis seperti berkenaan diharap akan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh ukhuwah, memupuk nilai-nilai murni serta mempererat hubungan antara masyarakat dan pemimpin setempat, selaras dengan semangat Aidilfitri yang menekankan keampunan, kesyukuran dan perpaduan.


Close